IPOH: Kerajaan negeri menerusi K-Perak yang mengendalikan Agensi Penyelaras Infrastruktur Telekomunikasi (APIT) tidak akan teragak-agak untuk meruntuhkan menara pemancar milik syarikat telekomunikasi yang beroperasi secara haram di negeri Perak.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang memberikan amaran tegas ini berkata, ini kerana kerajaan negeri terpaksa menanggung kerugian atau kehilangan sumber hasil kira-kira RM20 juta setahun sejak beberapa tahun lalu, akibat tindakan syarikat-syarikat telekomunikasi itu.

“Tidak kiralah syarikat kecil ke syarikat besar ke, tindakan tegas akan diambil, ini adalah kata putus yang telahpun   dibuat dalam mesyuarat Exco kita,’’ katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Seminar dan Bengkel Pembangunan Infrastruktur Perkhidmatan Telekomunikasi Negeri Perak di WEIL Hotel, Ipoh pada Isnin.

Dr Zambry menegaskan, kerajaan negeri telah berkali-kali memaklumkan kepada mereka supaya dapat bekerjasama dengan kerajaan negeri melalui dasar yang telah dibuat, namun syarikat-syarikat telekomunikasi terbabit masih tetap `berdegil’.

“Saya nak sebutkan di sini 12 negeri yang lain telahpun melaksanakan takkan negeri Perak tidak boleh melaksanakan dasar yang sama, kenapa mereka mengambil sikap untuk menolak dan sebagainya,” ujarn

Beliau turut mendedahkan hanya 1,400 syarikat telekomunikasi yang telah mendaftar untuk membina menara pemancar di negeri ini setakat ini, manakala kira-kira 2,800 lagi masih belum mendaftar.

Katanya, melalui dasar baharu yang ditetapkan kerajaan negeri ketika ini, kadar bayaran permit bagi permohonan pembinaan menara pemancar sebanyak RM2,500 berbanding sebelum ini kira-kira lebih RM2,000 sahaja.

Dr Zambry berkata, matlamat awal penubuhan APIT ialah membantu mengawal pembangunan infrastruktur telekomunikasi di negeri Perak.

Beliau juga telah meminta pihak APIT membantu mengenalpasti dan mencadangkan alternatif-alternatif  bagi menambahkan hasil pendapatan negeri.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan semua pegawai daerah dan agensi yang terlibat yang mempunyai tanah seperti PKNP, SADC dan MAIPk memberi kelulusan segera atau memudahkan kelulusan sebahagian pemilikan tanah bagi tujuan pembinaan struktur telekomunikasi.

Menurutnya,, kelulusan pemilikan tanah itu bukan sahaja memudahkan pihak kerajaan mengawal taburan pemilikan struktur telekomunikasi tetapi yang lebih penting dapat menjana hasil negeri Perak.