SUNGAI SIPUT: Polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana kumpulan yang cuba menganggu ketenteraman awam dengan menyembur cat terhadap wanita yang kononnya berpakaian tidak senonoh semasa menyambut Thaipusam di kuil-kuil pada 9 Februari depan.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Deputi Superintenden A. Pamnaswaran berkata, polis memandang serius isu itu yang tular (viral) di dalam media sosial oleh sekumpulan remaja baru-baru ini.

Menurut beliau, walaupun tiada laporan polis yang dibuat mengenai perkara tersebut, tetapi pihak polis menasihatkan supaya kegiatan itu tidak diteruskan.

“Polis menasihatkan kumpulan berkenaan atau mana-mana individu menghentikan perbuatan ini kerana ia merupakan satu tindakan yang tidak bermoral.

“Mereka yang terbabit dalam perbuatan semburan cat ini boleh didakwa sekiranya ada laporan polis dibuat oleh mangsa ataupun pengadu,” katanya.

Pamnaswaran berkata demikian kepada pemberita di majlis pelancaran buku bertajuk Tiada Jenayah Kekerasan Di kalangan Remaja hasil tulisan Timbalan Pengarah Jenayah Komersil Bukit Aman, Datuk A. Thaiveegan di Dewan Kuil Subramaniam, Sungai Siput pada Ahad.

Beliau mengulas hasrat sekumpulan remaja yang tular di media sosial, kononnya akan bertindak menyembur cat ke atas wanita yang berpakaian tidak senonoh semasa menyambut perayaan Thaipusam di kuil-kuil pada 9 Februari depan.

Menurut Pamnaswaran, pihak Persatuan Hindu Sangam Perak memang telah menetapkan beberapa peraturan yang mesti dipatuhi penganut Hindu semasa menyambut perayaan Thaipusam di kuil-kuil.

Katanya, apa yang penting penganut agama itu perlu mematuhi peraturan yang ditetapkan dengan memakai pakaikan tradisional ketika berkunjung ke kuil.

Dalam pada itu, Pamnaswaran berkata, buku Tiada Jenayah Kekerasan D Kalangan Remaja antara lain bertujuan kesedaran kepada remaja, khususnya pelajar, supaya sentiasa berdisiplin dan menjauhi sebarang bentuk aktiviti yang boleh menjerumus mereka ke dalam kancah jenayah seperti jenayah kekerasan dan penagihan dadah.