MANJUNG – Seorang lelaki terpaksa menanggung azab lebih empat jam selepas tangan kanannya tersangkut pada tangki minyak sebuah lori dalam satu kejadian di sebuah kilang simen di Taman Dinding, Ayer Tawar, petang tadi.

Kejadian sekitar jam 5.30 petang itu berlaku ketika lelaki berusia 50-an terbabit mengisi minyak diesel ke  kenderaan berkenaan.

Mangsa dikatakan cuba mengambil barangan yang terjatuh dalam tangki minyak itu menyebabkan tangan kanannya hingga ke panggal lengan, tersangkut.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar, Mohd Zaki Zainol berkata, anggota yang tiba di lokasi mendapati, tangan mangsa tidak dapat dikeluarkan dari lubang tangki minyak lori tersebut.

Menurutnya, mangsa terpaksa dibawa ke klinik kesihatan berhampiran sebelum dirujuk ke Hospital Seri Manjung untuk menerima rawatan dan memudahkan pemotongan besi dijalankan.

“Anggota kita telah bertindak memotong keliling lubang tangki itu dan cuba menanggalkannya, tetapi tidak berjaya.

“Mangsa kemudiannya menerima bius di klinik kesihatan, namun usaha menarik keluar tangan mangsa masih gagal,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudiannya dirujuk ke hospital dan barulah besi berkenaan berjaya ditanggalkan dengan memotong besi menggunakan hydraulic cutter sehingga selesai.

Katanya, mangsa dilaporkan hanya mengalami cedera ringan.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 10 malam tadi,” katanya – sinar