MANJUNG: Penduduk daerah Manjung patut bersyukur apabila Pangkor diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai.

Sehubungan itu, Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam, Pendidikan Islam dan Pembangunan Sahsiah negeri, Datuk Drs Mohd Nizar Zakaria berkata, mereka harus mengambil peluang yang ada untuk meningkatkan lagi taraf hidup mereka.

Dalam masa yang sama, katanya, rakyat Manjung khususnya dan Perak amnya patut berterima kasih kepada Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang telah berusaha untuk mendapatkan status itu.

“Beliau istiqamah sejak dari dulu lagi dengan terus berusaha untuk mendapatkan status bebas cukai itu,” katanya kepada Suara Perak selepas mewakili Menteri Besar merasmikan Program Fit Perak di Arena Square Taman Samudera di sini pada Sabtu.

Hadir sama Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Rantau Panjang, Datuk Rashidi Ibrahim dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan negeri, Aznel Ibrahim.

Terdahulu, Dr Zambry sempat melakukan upacara pelepasan peserta yang mengambil bahagian di dalam acara berjalan kaki, selepas ke Hutan Melintang untuk menghadiri Sambutan Deepavali peringkat negeri.

ambil-kesempatan-pangkor-bebas-cukai

Sementara itu, Dr Nizar menyambut baik pemberian bantuan khas RM1,500 kepada guru KAFA & Takmir, imam, bilal dan siak yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2018 semalam.

“Pemberian itu adalah satu lagi bukti keprihatinan kerajaan terhadap kumpulan ini yang telah banyak memberi sumbangan kepada pembangunan sahsiah komuniti di tempat mereka,” ujarnya.

Beliau turut menyambut baik peruntukan RM50 juta yang disalurkan melalui Giatmara untuk menyelenggara sistem pendawaian maahad tahfiz yang berdaftar di seluruh negara.

Drs Nizar memberitahu, setakat ini terdapat 96 maahad tahfiz di negeri Perak telah mendaftar manakala hanya 10 yang masih belum berdaftar.

“Kita akan terus menasihatkan mereka supaya memudahkan untuk membuat pemantauan di samping menyalurkan bantuan yang diperlukan untuk membaiki lagi maahad tahfiz masing-masing,” kata beliau.