Kuala Lumpur: Kejayaan pelumba Hafizh Syahrin Abdullah meletakkan dirinya dalam saingan MotoGP menyebabkan ada individu memperoleh keuntungan atas angin dengan menjual pelbagai barangan cetak rompak menggunakan nama idola sukan permotoran negara itu.

Situasi itu dilalui bapa pelumba berkenaan, Abdullah Harun apabila jenama Mr Pescao dan El Pescao 55 yang sudah dipatenkan setahun lalu kini diciplak hingga menyebabkan pihaknya mengalami kerugian ribuan ringgit.

Abdullah berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu mula dikesan setahun lalu namun sejak nama Hafizh Syahrin mula meningkat naik, penjualan produk cetak rompak menggunakan nama itu semakin meningkat.

Katanya, penjualan produk cetak rompak seperti baju, pelekat, topi dan aksesori lain boleh didapati dengan mudah menerusi laman sosial tanpa mendapat kebenaran terlebih dulu daripada pihaknya.

“Pada peringkat awal, saya biarkan saja kerana tindakan itu mungkin dilakukan segelintir orang saja namun sejak beberapa bulan lalu, penjualan produk terbabit semakin meningkat hingga menjejaskan perniagaan kami.

“Selain itu, ada individu tidak bertanggungjawab mengatakan produk mereka tulen namun hakikatnya tidak dan bukannya keluaran daripada syarikat kami,” katanya.

Menurutnya, dia sudah mengadu perkara terbabit kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan untuk tindakan lanjut.

“Kebanyakan individu berkenaan masih berdegil menjual produk menggunakan jenama Mr Pascao dan El Pascao 55 walaupun kami pernah memberi amaran menghentikan penjualannya.

“Orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah tertipu dengan pihak yang menjual produk Mr Pascao dan EL Pascao 55 kerana dibimbangi cetak rompak,” katanya.

Selain itu, dia mendapati wujud banyak laman jual beli mudah alih menjual produk berkenaan kepada umum dengan meniru rekaan produk seperti yang dikeluarkan syarikatnya.

“Segala penat lelah saya selama ini seolah direntap tindakan tidak bertanggungjawab pihak terbabit kerana sebelum ini, kami mengeluarkan ratusan ribu ringgit melahirkan pelumba MotoGP negara.

“Mr Pescao atau EL Pescao bermaksud kelincahan ikan kecil iaitu gelaran yang diberikan kepada Hafizh Syahrin kerana keupayaannya mengemudi jentera ketika keadaan litar basah dan nama itulah yang dipatenkan saya bagi memastikan jenamanya tidak disalah guna,” katanya – berita harian