IPOH: Polis Perak mengambil keterangan beberapa individu termasuk pemilik ladang kelapa sawit yang menjadi lokasi sindiket eksploitasi buruh paksa di Kampung Tasek, Pengkalan Hulu pada Ahad lalu bagi melengkapkan kertas siasatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak Datuk Gan Tian Kee berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan bagi membolehkan suami isteri dipercayai dalang utama sindiket itu didakwa selepas tamat tempoh reman Jumaat ini.

Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan termasuk merakam keterangan beberapa individu bagi melengkapkan kertas siasatan.

“Setakat ini, polis sudah merakam keterangan pemilik ladang, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan doktor (yang merawat seorang daripada kanak-kanak yang menjadi mangsa sindiket).

“Kanak-kanak yang masih menerima rawatan dengan ditemani ibunya akan ditempatkan di rumah perlindungan sementara.

“Kes ini adalah yang pertama di Perak tahun ini membabitkan kanak-kanak yang dipaksa bekerja menjadi buruh dan siasatan secara berterusan dijalankan termasuk mengenal pasti kawasan ladang lain sekiranya ada berlaku sindiket sama,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kontinjen Polis Perak di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Majlis dihadiri Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan serta pegawai-pegawai kanan dan anggota polis kontinjen Perak.

Tian Kee berkata, beliau menggesa orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui berkenaan sindiket pemerdagangan manusia membabitkan kanak-kanak.

Dalam serbuan 1 pagi Ahad lalu, suami isteri berusia 44 dan 24 tahun ditahan selepas polis menyelamatkan 18 individu warga tempatan termasuk lima kanak-kanak yang dipercayai dijadikan buruk paksa di ladang berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Semua mangsa yang diselamatkan berusia antara dua hingga 64 tahun dan ada di antara mempunyai hubungan keluarga.