IPOH: Kerajaan negeri akan mendapatkan pandangan golongan belia sebelum melaksanakan sebarang program atau aktiviti untuk mengurangkan penghijrahan belia dari luar bandar ke bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Hal Ehwal Pengguna, Integrasi Nasional Dan Sumber Manusia negeri, YB A. Sivanesan berkata, kerajaan negeri sentiasa percaya bahawa golongan belia mampu mengubah lanskap masalah ini sekiranya diberi kepercayaan.

“Dalam mengurangkan jurang masalah ini, salah satu usaha kerajaan negeri adalah meningkatkan peranan belia dalam menyuarakan pendapat dan pandangan mereka mengenai isu migrasi ini,”katanya ketika menjawab soalan asal YB Ahmad Saidi Mohamad Daud (BN – Changkat Jering) di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Selain itu, kata beliau, kerajaan negeri juga akan terus berusaha untuk meningkatkan penglibatan belia di dalam sektor keusahawanan bagi mewujudkan peluang pekerjaan dan industri baru.

Beliau menambah, ia sekaligus dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi di daerah-daerah selain menambah baik infrastruktur asas dalam mewujudkan persekitaran yang selesa di kalangan beliau.

YB Sivanesan berkata, isu migrasi bukan hanya menjadi perhatian di negeri Perak sahaja, tetapi telah menjadi isu nasional dengan peningkatan tenaga kerja, khususnya golongan professional berhijrah ke negara lain.

Menurutnya, antara faktor berlakunya migrasi ialah modenisasi pertanian, upah yang rendah, kurang kemudahan asas, pendidikan, pengangguran dan kesihatan yang memerlukan mereka berhijrah untuk mengubah taraf hidup.

Menjawab soalan wakil yang sama mengenai usaha untuk membangunkan industri 4.0 di Changkat Jering bagi mengelakkan penghijrahan, beliau berkata, masalah itu bukan sahaja dihadapi di Changkat Jering tetapi di seluruh negeri Perak.

Beliau menjelaskan masalah itu berlaku apabila perkembangan pembangunan yang terhad.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin (BN – Kampung Gajah), YB Sinanesan menegaskan bahawa kerajaan negeri memang prihatin terhadap belia dan usaha akan ditingkatkan untuk pastikan belia mendapat pekerjaan.