Pemuda Umno dan Pemuda PAS mendesak agar peguam negara mengambil tindakan segera terhadap individu yang didakwa menghina Nabi Muhammad.

Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan rakan sejawatanya dalam PAS, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, sekiranya pihak berkuasa mengambil sikap sambil lewa, kedua-dua parti itu tidak teragak-agak untuk mengadakan perhimpunan aman.

Dalam kenyataan media hari ini, kedua-dua sayap Pemuda parti itu bersepakat untuk mendesak peguam negara agar segera mendakwa individu yang telah dibebaskan atas jaminan polis selepas ditahan kerana memuat naik status Facebook menghina junjungan mulia Nabi Muhammad.

“Perbuatannya bukan sahaja mengguris perasaan bahkan menyemarakkan kemarahan umat Islam di Malaysia.

“Malah perbuatan tersebut jelas boleh disabitkan sebagai kesalahan jenayah di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara mandatori hingga 5 tahun.

“Sesungguhnya penghinaan yang dilakukan terhadap Nabi Muhammad adalah suatu yang amat serius dan tidak boleh dimaafkan begitu sahaja,” kata kenyataan media bersama itu.

Pada 20 Februari lalu, seorang lelaki berusia 68 tahun yang dipercayai memuat naik status menghina Nabi Muhammad di akaun Facebooknya direman selama tiga hari.

Suspek tersebut kemudiannya dilaporkan dibebaskan dengan jaminan polis.

Sementara itu, Pemuda Umno dan PAS juga meminta PDRM supaya memaklumkan status terkini siasatan kes berkenaan kepada rakyat khususnya umat Islam.

“Justeru sekali lagi kami mendesak agar pihak peguam negara menyegerakan pertuduhan terhadap pelaku di mahkamah dan mendakwa beliau di bawah kanun keseksaan bagi memberikan isyarat tegas bahawa sebarang penghinaan bukan sahaja kepada Islam bahkan kepada mana-mana agama sekalipun adalah suatu yang tidak boleh dikompromikan dan perlu dihukum dengan hukuman yang paling keras agar perbuatan jenayah seperti ini tidak berulang.

“Pemuda Umno dan PAS tidak akan teragak-agak untuk kembali menggerakkan rakyat berhimpun secara aman di Kuala Lumpur dan seluruh Malaysia bagi menzahirkan ketidakpuasan hati sekiranya wujud sikap pilih kasih dan tindakan sambil lewa terhadap penjenayah yang menghina Islam dan Nabi Muhammad,” tegas kenyataan tersebut – Malaysiakini