KUALA LUMPUR : Kerajaan digesa mengambil tindakan segera terhadap pihak yang melancarkan kempen boikot barangan bukan Islam.

Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (Cassa) Dr. Jacob George berkata, tindakan undang-undang perlu bagi meredakan keadaan masyarakat yang sebelum ini ternyata harmoni selama 62 tahun sejak negara mencapai kemerdekaan.

Tindakan yang diambil golongan tertentu ini adalah suara minoriti, sedangkan suara majoriti masih rasional. Ia mempunyai agenda politik yang bertujuan memecah belahkan masyarakat dalam negara kita,” katanya seperti dipetik portal Free Malasyia Today hari ini.

Semalam Menteri Kewangan, Lim Guan Eng menyeru Pas dan UMNO supaya membantu menghentikan gerakan memboikot produk bukan Islam kerana tindakan itu tidak menguntungkan dan boleh menggugat perpaduan negara.

Jacob menambah, kempen itu hanya berjalan di Semenanjung dan tidak berlaku di Sabah dan Sarawak.

“Ini bukan ‘penyakit’ Malaysia. Ini hanya di semenanjung, bukan Sabah dan Sarawak,” katanya yang berpengalaman lebih 40 tahun dalam gerakan kepenggunaan.

Jacob juga menyarankan semua pihak mengambil maklum nasihat Yang di-Pertuan Agong bahawa semangat toleransi dan kerjasama rakyat berbilang kaum adalah asas kukuh bagi perpaduan negara.

“Apakah tindakan dan respons kerajaan di Putrajaya? Kalau tak guna tindakan undang-undang, ia akan menjadi lebih parah dan menimbulkan banyak masalah,” katanya.