JEMPOL – Pihak berkuasa digesa supaya mengambil tindakan tegas kepada individu yang membuat penyebaran palsu mengenai dakwaan Chin Peng sebagai calon tokoh kemerdekaan tahun 2019 yang tular sejak semalam.

Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Jempol, Karip Mohd Salleh berkata, beliau menerima penyebaran berita tersebut melalui aplikasi WhatsApp pada jam 10 malam dalam kumpulan WhatsApp Jom Bersama Warga Felda.

Menurutnya, hantaran tersebut dihantar oleh seorang individu yang tidak dikenali dalam kumpulan WhatsApp itu dengan niat untuk memburukkan imej kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Hantaran yang dihantar ‘Chin Peng calon tokoh kemerdekaan tahun 2019’ dan ditularkan ke seluruh kumpulan WhatsApp ini adalah palsu dan sengaja dilakukan oleh pihak tertentu untuk menimbulkan kemarahan orang ramai kepada kerajaan sekarang.

“Perkara seperti ini perlu dibendung, jadi saya berharap pihak berkuasa dapat menyiasat perkara ini dan mengambil tindakan tebas terhadap penyebaran berita palsu tersebut,” katanya.

Karip berkata, berita palsu sedemikian tidak sepatutnya terjadi kerana ia boleh menggugat keharmonian rakyat di negara ini.

Katanya, jika perkara seperti ini tidak dibendung dikhuatiri akan membawa perpecahan keharmonian kaum yang telah terjalin sejak sekian lama.

Sehubungan dengan itu, satu laporan polis dilakukan di Balai Polis Seri Jempol semalam, bagi meminta pihak berkuasa menyiasat terhadap pelaku yang menyebarkan berita palsu ini.

-SINARHARIAN