IPOH: Armada Bersatu Perak menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap penganjur himpunan Hari Wanita Antarabangsa yang membenarkan sekumpulan komuniti penyokong lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berdemontrasi di ibu negara pada Sabtu lalu.

Ketuanya, Mohd Hafez Mubin Mohd Salleh berkata, ia sejajar dengan ketegasan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa kerajaan Pusat bertegas bahawa amalan seperti LGBT tidak akan diterima di negara ini.

Menurut beliau, himpunan seumpama itu sebenarnya tidak wajar diadakan.

“Diharapkan pihak berkuasa memantau agar ianya tidak berulang di masa mendatang kerana ia jelas tidak menghormati perasaan umat Islam di negara ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Dalam satu himpunan dan perarakan yang diadakan sekitar Kuala Lumpur, penyokong LGBT dirakam melaungkan slogan seperti “Hidup LGBT” dan mengibarkan bendera pelangi yang menandakan sokongan mereka terhadap golongan itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa dalam reaksinya menyifatkan tindakan itu sebagai menyalahgunakan ruang demokrasi.

Menurut Mohd Hafez Mubin, semua pihak perlu akur dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan mempunyai martabat tertinggi serta istimewa dalam negara ini.