TAPAH: Sudah jatuh ditimpa tangga, begitulah nasib seorang pesakit selepas ambulan yang dinaikinya terbalik di KM 303 Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara, berhampiran Tapah.

Dalam kejadian sekitar 4.30 petang Khamis itu, ambulan tersebut dipercayai terbalik selepas tayar kanan bahagian belakangnya meletup secara tiba-tiba sebelum pemandu hilang kawalan dan melanggar penghadang jalan.

Menurut saksi di tempat kejadian yang enggan dikenali, kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan telah pun dihantar ke hospital berdekatan untuk rawatan susulan.

“Masa saya sampai, ada tiga mangsa di dalam van itu, seorang pemandu, seorang mungkin pegawai perubatan dan seorang lagi pesakit.

“Kesian tengok pesakit itu, mengerang kesakitan dia ketika pegawai perubatan yang lain datang dan memindahkan beliau ke sebuah lagi ambulan untuk mendapatkan rawatan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Jurucakap PLUS ketika dihubungi memberitahu kemalangan berkenaan telah mengakibatkan kesesakan trafik sepanjang 3 kilometer.

Pihak bomba dan polis bagaimanapun memberitahu tiada panggilan dibuat berkenaan kemalangan tersebut.