SHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dusun Tua, Amirudin Shari enggan melayan dakwaan pihak tertentu bahawa pelantikan beliau sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu tidak direstui kepemimpinan Pakatan Harapan (PH).

Beliau sebaliknya enggan memanjangkan isu itu dan menyerahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk menjawab dakwaan berkenaan.

“Saya serahkan kepada parti berhubung perkara ini. Tugas saya untuk meneruskan kecemerlangan pentadbiran kerajaan negeri.

“Yang Berhormat Azmin (bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali) sudah meletak penanda aras yang tinggi sepanjang tempoh pentadbirannya.

“Jadi, bukan mudah untuk saya, sebab itu saya perlukan sokongan barisan EXCO. Saya sentiasa berpegang kepada semangat kerja berpasukan untuk mencapai kecemerlangan,” katanya pada sidang media di kediaman rasmi EXCO Kerajaan Selangor di sini, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan ADUN Ijok, Dr Idris Ahmad bahawa pelantikannya sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu tidak mendapat restu PH.

Dr Idris sebaliknya berkata hanya beliau seorang saja yang mendapat persetujuan PH.

Selain itu, Dr Idris turut berkata, sebelum Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) lagi, sudah ada ura-ura PH mahu beliau menjadi Menteri Besar Selangor.

Bagaimanapun, dakwanya, ketika mereka dalam ‘mood’ gembira selepas kemenangan PH, Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali secara tiba-tiba mengangkat sumpah menjadi Menteri Besar, tanpa restu parti.

Beliau mendakwa dirinya adalah satu-satunya calon yang mendapat sokongan majoriti menerusi surat daripada empat parti komponen PH iaitu PKR, DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU ) dan Parti Amanah Negara (AMANAH) serta dipersembahkan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Amirudin,38, mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah, Klang hari ini selepas Mohamed Azmin melepaskan jawatan itu berikutan pelantikannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.