IPOH – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak menggesa, individu yang menerima jawatan melalui lantikan politik kerajaan terdahulu mengundur diri secara terhormat daripada barisan pentadbiran.

Exco AMK Perak, Muhamad Alif Asyraf Abdull Rahim berkata, berdasarkan penelitian pihaknya, kesemua mereka ini masih lagi memegang jawatan sekurang-kurangnya di 23 syarikat berkaitan kerajaan dan dua perbadanan.

“Ada antara mereka pada PRU14 lalu berkempen secara terbuka mengajak rakyat mengundi BN dan tidak kurang bertanding pada pemilihan Umno.

“Kini setelah tiga bulan kerajaan baharu ditubuhkan, masih ramai pemimpin kalangan parti itu tanpa segan silu memegang jawatan.

“Demi urus tadbir yang baik, telus dan bebas dari kronisma adalah lebih baik mereka meletak jawatan dengan penuh hormat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berkata, peralihan kuasa yang berlaku pada PRU14 di Perak telah membawa mesej penting bahawa rakyat tidak lagi mahu Umno berada dalam pentadbiran kerajaan.

Katanya, isyarat perubahan itu perlu dipandang serius agar amanah diberikan rakyat kepada Pakatan Harapan dapat dilaksanakan penuh intergriti dan profesional.

“Malangnya mesej ini gagal difahami golongan tersebut.

“AMK mengambil tanggungjawab untuk menyampaikan mesej ini dengan lebih tegas,” katanya – sinar