IPOH: Fenomena angin kencang serta hujan lebat yang melanda hampir keseluruhan bandaraya Ipoh sejak 18 April lalu menyebakan beberapa siri insiden pokok tumbang sehingga membawa kepada kemusnahan harta benda seperti kenderaan remuk, atap terbang malah kesesakkan jalan raya.

Lebih dahsyat lagi, insiden pokok tumbang ini telah meragut satu nyawa seorang wanita yang maut apabila kereta dinaikinya dihempap pokok jenis Tecoma di Jalan Sultan Nazrin Shah di hadapan sebuah hotel pada 22 April.

Kejadian yang meragut nyawa ini telah mendapat perhatian Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang mengarahkan kesemua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) supaya memantau pokok-pokok dalam kawasan masing-masing.

Terbaru fenomena angin kencang dan hujan lebat petang Jumaat 28 April menyaksikan berakhirnya riwayat pokok yang sekian lama menjadi ikon kepada bandaraya Ipoh.

Pokok Ipoh yang berusia 37 tahun, ditanam Menteri Besar Perak ke-7 Datuk Wan Mohammad di Dataran Stesen KTM Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab rebah menyembah bumi.

Rata-rata warga Ipoh meluahkan rasa sedih dengan kehilangan pokok yang dikaitkan dengan asal usul nama bandaraya Ipoh kerana sering menjadi tumpuan pelancong luar yang menjadikan kunjungan melihat pokok Ipoh sebagai satu kemestian.

Selain pokok Ipoh, turut menjadi mangsa amukan alam adalah dua pokok jenis Yellow Flame di Padang Ipoh.

Sebelum itu, deretan pokok Khoya yang menghiasi landskap Jalan Nazrin tumbang berikutan cuaca buruk pada 24 April menyebabkan lima kenderaan dan dua motosikal mengalami kerosakkan.

Kejadian melibatkan pokok berusia hampir tiga dekat ini agak mengejutkan warga kota kerana selain merupakan kejadian pertama pokok-pokok di laluan ini amat dipantau rapi Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) berikutan ia merupakan jalan protokol.

Menurut Pegawai Perhubungan Awam MBI, Mohd Shahrizal Azmi sebanyak sembilan insiden pokok tumbang direkodkan sekitar Ipoh sehingga 29 April.

Beliau menegaskan MBI sentiasa mengambil langkah proaktif dalam menanggani isu pokok tumbang dengan memastikan kerja-kerja mencantas pokok dilakukan mengikut jadual.

Beliau berkata pokok di Jalan Raja Nazrin misalnya sudah menjalani kerja penyelenggaraan pada Jun dan terakhir adalah pada November.

“Kebiasaanya kerja mencantas pokok kita laksanakan di kawasan-kawasan yang kita jangkakan berlaku pokok tumbang, tetapi sebaliknya berlaku di tempat di luar jangkaan.

Kita juga tidak sangka perubahan cuaca dengan kejadian angin kuat kebelakangan ini telah memburukkan lagi keadaan. Insiden pokok tumbang setakat ini paling teruk dan membimbangkan,” katanya.

Menurut Shahrizal lagi sebatang pokok jenis Khayo turut tumbang di Jalan Mazwin, Buntong, sebatang lagi di Jalan Guntong rebah manakala pokok angsana yang tumbang di Jalan Silibin turut meremukkan sebuah kenderaan secara kebetulan parkir di kawasan tersebut.

Kalangan warga Ipoh bimbang dengan insiden pokok tumbang yang silih berganti apatah lagi dengan keadaan cuaca hujan dan angin kuat yang dijangka berterusan.

Antara yang meluahkan rasa bimbang adalah pembaca Suara Perak risau dengan keselamatan anak-anak mereka yang berulang alik ke sekolah, selain nasib peniaga kecil-kecilan yang menjalankan pernniagaan di bawah pokok.

Seorang pembaca Muaiz Mohammad berpendapat inisiatif menghijaukan kawasan perumahan dengan menanam pokok kekabu di sekitar Pengkalan merupakan satu langkah baik.

Beliau bagaimana pun berkata penyelenggaraan perlu sentiasa dilakukan kerana pokok kekabu mempunyai dahan yang rapuh dan senang patah sekitarnya dipukul angin.

“Tidak dinafikan pokok menghijaukan kawasan tetapi MBI perlu memikirkan langkah penanaman semula selepas ditebang dan terlalu banyak pokok sebenarnya di Ipoh.
“Penduduk pula sentiasa bimbang pokok ini akan tumbang. Kita mahu tindakan dibuat sebelum ada kejadian meragut nyawa,”luahnya.

Ada juga pembaca, dengan nama Facebook Zainora Hayari yang tidak setuju MBI dipersalahkan apabila ada kejadian pokok tumbang lebih-lebih lagi melibatkan pokok-pokok besar.

“Ribut kuat kebelakangan ini, MBI tiada kaitan dengan ribut,ini bencana alam,”jelasnya.

Sementara itu,Saif Adewira juga meminta MBI mengambil tindakan namun merasakan punca pokok tumbang bukan terletak dalam tangan majlis pengurusan sekitar Ipoh itu.
Pokok tumbang, itu bencana alam bukan urusan manusia,”katanya ringkas.

Tidak terlepas beberapa kediaman penduduk di Buntong mengalami kerosakkan dihempap pokok selain kerosakkan pada kabel dan tiang elektrik berhampiran.

WhatsApp Image 2017-04-30 at 20.43.22WhatsApp Image 2017-04-30 at 20.43.18WhatsApp Image 2017-04-30 at 20.43.07

Faktor Pokok Tumbang

Sebelum kita menuding jari dan mempersalahkan pelbagai pihak, perlu diketahui kejadian pokok tumbang dan patah banyak berkait rapat dengan faktor cuaca.

Ini kerana pada musim hujan lebat atau angin­ kencang, halaju angin bukan sahaja merosakkan pokok tetapi menyebabkan struktur lain seperti tanah terlalu lembut dan lemah sehingga tidak dapat menahan akar pokok.

Jika ribut dan hujan lebat berlaku, pokok-pokok di mana sahaja akan berada dalam keadaan berisiko terutama di bandar kerana terdapat laluan angin.

Faktor lain adalah berpunca pokok-pokok spesis hujan tropika yang terdapat di negara ini membesar dengan lebih cepat tetapi tidak mempunyai stuktur pokok dan dahan yang kukuh.

Pokok tropika direkodkan membesar lebih cepat kerana tumbesarannya berlaku sepanjang tahun menjadikannya kurang kukuh berbanding pokok temperat iaitu pokok yang hidup di iklim sederhana.

Maka pokok di kawasan tropika mememerlukan penyelenggaraan yang lebih intensif dan sepanjang tahun tanpa mengenal musim bagi memastikan setiap aspek risiko dan keselamatan awam terjamin.