IPOH – Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim menggesa agar anak-anak dari keluarga pelarian di negara ini diberikan peluang dan layanan yang sama seperti belia Malaysia. Titah baginda, anak-anak daripada keluarga pelarian tidak harus menjadi mangsa dan tidak harus menanggung penderitaan disebabkan perbuatan yang bukan dilakukan oleh mereka.

“Ketika ini terdapat 150,000 orang pelarian dari Myanmar, Palestin, Syria, Yemen, Iran, Sri Lanka, Pakistan dan Afghanistan di negara ini.  “Daripada jumlah tersebut, seramai 25,000 orang atau 17 peratus berada di bawah usia 18 tahun, dan hanya 30 peratus daripada jumlah yang berusia di bawah 18 tahun, berpeluang mengikuti pelajaran di pusat-pusat pembelajaran komuniti,” titah baginda. Baginda bertitah sempena menyampaikan ucapan perasmian sempena Kongres Tahunan Ke-40 Persatuan Pediatrik Malaysia di Pusat Konvensyen Ipoh, pada Khamis.

Turut hadir ialah Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad. Titah baginda, anak-anak daripada keluarga pelarian tidak meminta agar mereka dilahirkan, dan tidak juga mempunyai pilihan untuk tidak dilahirkan daripada keluarga pelarian.

“Oleh itu adalah perlu agar mereka diberikan layanan secara adil lagi saksama, seperti layanan yang diperoleh oleh kanak-kanak lain, terutama untuk mendapat peluang pendidikan dan kemudahan rawatan kesihatan,” titah baginda lagi.

Baginda turut bertitah bahawa sokongan sosioekonomi untuk kanak-kanak terpinggir di Malaysia masih ketinggalan di belakang berbanding negara-negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi. “Menjadi sebuah negara maju tidak hanya boleh diukur dari segi kekayaan, tetapi turut dinilai daripada dasar-dasar yang berpaksikan insan dan kesejahteraan hidup insan, kekayaan negara diagih secara saksama, penyalahgunaan kuasa tidak berlaku, rasuah dibendung, penduduknya mempunyai makanan yang cukup lagi berkhasiat, serta mempunyai tempat tinggal yang selesa dan tenteram, penduduknya mudah mendapatkan perkhidmatan pendidikan dan kesihatan berkualiti, juga memiliki pekerjaan, berpeluang melibatkan diri dalam kerja-kerja kemasyarakatan serta mempunyai hak kebebasan bersuara untuk menegur dan memilih kerajaan,” titah beliau.