LUMUT: Anak anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meninggal dunia selepas dipercayai terjatuh dari tingkat lima, Rumah Keluarga TLDM di sini, pagi Isnin.

Kejadian disahkan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) melalui Markas Pangkalan Lumut dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Mangsa yang berusia 3 tahun, dikenalpasti sebagai Nur Maizatul Alya Abdullah, merupakan anak kepada anggota TLDM yang kini sedang berkursus di KD PELANDOK.

Menurut kenyataan itu, kejadian berlaku sekitar jam 8 pagi apabila saksi terdengar bunyi dentuman yang kuat di bahagian balkoni rumahnya di tingkat 3 dan ternampak seorang kanak-kanak tertiarap di lantai kaki lima bangunan.

“Saksi seterusnya membawa kanak-kanak tersebut ke wad kecemasan 96 Hospital Angkatan Tentera Lumut bagi rawatan kecemasan.

“Namun, mangsa telah disahkan meninggal dunia dan dibawa ke Hospital Daerah Manjung bagi tujuan bedah siasat,” kata kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Komunikasi Strategik Markas Pemerintahan Armada Barat Pangkalan TLDM di sini.

Menurut kenyataan itu, Komander Pangkalan Lumut, Laksamana Pertama Roslan Mohd Yunus menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa.

Beliau mengingatkan kepada semua ibu bapa agar lebih prihatin dan melaksanakan pemantauan seteruskan mementingkan aspek keselamatan anak-anak ketika berada di rumah.

Menurut kenyataan itu lagi, jenazah mangsa dijangka dikebumikan di kampung halaman keluarga di Bandar Jengka Pahang.