IPOH: Anak angkat Menteri Besar yang dibawa membeli-belah menjelang Aidilfitri, tidak sabar-sabar untuk menyambut Hari Lebaran dengan pakaian dan aksesori baharu yang dipilih sendiri.

Amirul Najmi Din, 11, memberitahu Suara Perak, beliau tidak sabar menyambut hari raya dengan jam tangan yang baharu dibelinya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, dia tidak pernah mempunyai jam tangan dan rasa bersyukur dapat dipilih menyertai Program Anak Angkat Menteri Besar.

“Saya hidup bersama ibu yang bekerja sebagai nelayan di Bagan Datuk…kalau tengok kawan beli barang raya, saya selalu sedih juga. Nasib baiklah ada program anak angkat ini.

“Inilah pertama kali saya mempunyai jam tanga. Saya tak sabar sangat nak tunjuk dekat kawan-kawan bila balik kampung nanti,” katanya penuh kegembiraan.

Bagi Shafiq Badru Hisham, 18, beliau merasakan program anak angkat itu telah mengubah arah hidupnya menjadi lebih positif.

“Saya dimasukkan ke dalam program ini sejak 2010. Sejak itu hidup saya mulai berubah. Saya dibawa membeli pakaian, segala urusan kehidupan saya khususnya pembelajaran, juga dipantau rapi.

“Kalau tak cukup duit mereka akan beri, kalau pembelajaran saya ada yang gagal mereka akan beri saya motivasi,” katanya yang tinggal bersama ibunya yang melakukan kerja-kerja kampung.

Shafiq yang bersyukur mendapat keputusan 5A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini, kini menunggu tawaran ke universiti.

Sementara itu, bapa kandung kepada seorang peserta, Azhar Shamsuddin, 34, yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) melahirkan rasa bersyukur kerana anak perempuannya yang berusia tujuh tahun dimasukkan ke dalam program anak angkat itu, tahun ini.

“Dia (Nur Balqis Umairah) betul-betul seronok tadi ketika memilih baju raya, senyum tidak henti-henti . Saya juga gembira melihatnya, juga kerana diringankan beban saya dengan bantuan yang diberikan,” katanya.

Hari ini, 122 peserta Program Anak Angkat Menteri Besar dibawa membeli-belah pakaian raya bersama Menteri Besar dna isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli di Mydin Mall Meru Raya, di sini, sempena menyambut Aidilfitri yang bakal menjelang minggu hadapan.

Program anak angkat itu merupakan inisiatif Dr Zambry dan diseliakan oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU).
Ia menfokuskan kepada bantuan pendidikan kepada pelajar-pelajar yang berpotensi tetapi menghadapi kekangan dalam memajukan pelajaran akibat kemiskinan, kematian ibu atau bapa, dan mempunyai ahli keluarga yang sakit atau OKU.

Program itu yang bermula pada 2010 telah membantu anak-anak yang terpilih melalui sumbangan elaun bulanan, program motivasi atau persediaan peperiksaan, bantuan persalinan dan peralatan bagi sesi persekolahan baru serta bantuan sempena perayaan.

 

Azhar
Azhar
Shafiq
Shafiq
Najmi
Najmi