PARIT BUNTAR: Seorang remaja yang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) maut manakala adiknya parah selepas motosikal ditunggang dirempuh kereta di Kilometer 7, Batu 7, Kuala Kurau, dekat sini, pagi tadi.
Mohd Hafeez Mohd Jais, 18, yang meninggal dunia di tempat kejadian adalah angkat angkat Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, menerusi program anak angkat Yayasan Bina Upaya (YBU).
Dalam kejadian jam 6.20 pagi, bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panglima Bukit Gantang di sini itu, menunggang motosikal Honda Wave untuk menghantar adiknya, Nurul Hafiza Mohd Jais, 16, ke jalan utama bagi menunggu bas untuk ke sekolah.
Bagaimanapun, motosikal mereka dirempuh sebuah PROTON Wira yang dikatakan keluar dari simpang berhampiran Masjid Batu 7, Parit Tok Kip, dekat sini.
Kejadian menyebabkan Nurul Hafiza yang juga pelajar Tingkatan Empat, SMK Sri Perak di sini, cedera parah.
Mayat Mohd Hafeez dibawa ke Unit Forensik Hospital Parit Buntar untuk bedah siasat manakala adiknya ditempatkan di hospital sama bagi rawatan.
Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob, ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
Sementara itu, Pegawai Khas Menteri Besar Perak Parlimen Parit Buntar, Datuk Abu Bakar Mat Ali, menyampaikan ucapan takziah Zambry kepada keluarga mangsa. – Berita Harian