IPOH: Dalam kegirangan kebanyakan kanak-kanak membuat persiapan membeli pakaian baharu menjelang Aidilfitri tidak lama lagi, ada kanak-kanak malang yang hanya mampu memendam perasaan dan meneruskan kehidupan seperti biasa.

Walaupun ada kemahuan untuk membeli baju, kasut atau jam baharu seperti rakan-rakan sebaya yang lain, namun kedaifan hidup memaksa mereka “matang” lebih awal, yang akhirnya menjadikan mereka terasa terpinggir dalam kemeriahan menjelang hari raya.

Melalui pendekatan “Tiada Tertinggal, Tiada Terpinggir”, Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir mahu kanak-kanak ini merasai keseronokan memilih dan membeli baju raya di gedung membeli belah sebagaimana yang dialami rakan-rakan mereka yang lebih bernasib baik.

Daripada hasrat itu, maka lahirlah program Ceria Lebaran, Jom Shopping Raya khas untuk meraikan 122 orang anak angkat Menteri Besar.

Program itu yang dikelolakan oleh Yayasan Bina Upaya Darul Ridzuan (YBU) menyaksikan kanak-kanak yang terdiri daripada golongan yang kurang berkemampuan dibawa membeli baju raya bersama-sama ibu bapa angkat mereka, Dr Zambry dan isteri, Datin Seri Saripah Zulkifli.

Anak-anak angkat itu yang berusia dari enam hingga 19 tahun dibawa ke Mydin Mall Meru Raya dan diberi peluang memilih sendiri pakaian baharu dengan harapan mereka dapat merasai suasana menjelang Aidilfitri seperti rakan-rakan sebaya yang lain.

 

anak-angkat-mb 4

Bercakap kepada media kemudiannya, Dr. Zambry berkata, program Anak Angkat Menteri Besar Perak yang telah memasuki tahun ketujuh itu dianjurkan bagi membantu meringankan beban kehidupan anak-anak yang lahir dalam keluarga daif dari negeri ini.

“Ianya meliputi semua bangsa dan daerah. Kita bukan sahaja meraikan mereka ketika perayaan malah dari segala aspek seperti pembelajaraan dan makan minum juga kita jaga sepanjang mereka berada di bawah program ini.

“Kita merasakan ini merupakan salah satu langkah yang boleh kita buat bagi meringankan beban keluarga yang daif kerana kita tidak mahu, disebabkan oleh kekangan kewangan maka potensi anak-anak ini terhalang,” katanya.

Tambah Dr. Zambry, hasil daripada program itu, beberapa orang anak angkat beliau telah berjaya meningkatkan taraf kehidupan masing-masing, termasuk melanjutkan pelajaran ke universiti dan mendapat pekerjaan yang baik.

“Saya difahamkan seramai 29 orang telah berjaya melanjutkan pembelajaran di institusi pengajian tinggi, manakala 55 orang telah berjaya mendapat pekerjaan.

“Saya cukup-cukup gembira dengan perkembangan program ini. Kita ambil mereka dari keluarga daif dan hari ini, segala usaha itu telah menampakkan hasil, syukur Alhamdulillah,” ujar beliau.

Justeru, beliau berharap, lebih banyak pihak swasta atau korporat mencontohi program tersebut dalam usaha mengupayakan rakyat di negeri ini.

“Kita hanya sebagai pencetus program ini. Saya rasa lebih elok jika pihak swasta atau korporat mengunakan modul ini untuk membantu anak-anak yang daif di Perak.

“Bukan hanya membantu ketika perayaan tetapi dari segi jangka masa panjang menjaga kebajikan mereka sehingga mereka berjaya di kehidupan, bagi saya itu lebih bermakna,” katanya.