KUALA LUMPUR: Seorang wanita terpaksa berputih mata apabila semua barang kemas miliknya bernilai kira-kira RM40,000 dilarikan dan digadai anak angkat perempuan yang dibela sejak kecil.

Sumber memaklumkan kejadian disedari mangsa berusia 47 tahun ketika berada di rumahnya di Kampung Seri Aman, Jalan Bistari, Puchong pada jam 11.30 pagi selepas mendapati barang kemas dalam simpanannya hilang, Ahad lalu.

Katanya, berdasarkan keterangan mangsa, dia tinggal bersama anak angkat berusia awal 20-an dan suami anak angkatnya itu di rumah berkenaan sejak pasangan itu berkahwin kira-kira empat bulan lalu.

“Mangsa memberitahu dia menerima panggilan telefon daripada ibu mentua anak angkatnya yang memaklumkan pasangan suami isteri itu mengambil barang kemasnya.

“Difahamkan, pada mulanya anak angkatnya itu tidak mengaku mengambil barang kemas berkenaan. Namun, selepas perbincangan bersama keluarga mentua, wanita itu dan suaminya kemudian mengaku berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Sumber berkata, sebaik melarikan barang kemas milik mangsa, suami isteri itu menggadaikan barang kemas berkenaan pada harga RM38,000.

“Wanita itu menyerahkan resit pajak gadai barang kemas itu kepada mangsa yang kemudiannya membuat laporan di Balai Polis Puchong Jaya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kedua-dua suspek (suami isteri) sudah ditahan dan barang kemas yang dilarikan sudah dirampas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan,” katanya – berita harian