Kuala Lumpur: Bapa borek anak rintik. Peribahasa itu paling sesuai menggambarkan tindakan seorang pemuda yang mengikut jejak langkah bapanya yang menagih najis dadah.

Pemuda berusia 20-an itu memberi alasan mengambil dadah sejak di bangku sekolah selepas terpengaruh dengan tabiat buruk bapanya itu hingga sanggup berkongsi jarum suntikan.
Dia membuat pengakuan itu selepas diberkas dalam Ops Cegah oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Brickfields di sekitar Kampung Pantai Dalam, di sini, malam kelmarin.

Malah, dalam operasi itu, bapanya berusia 56 tahun dan sudah menagih dadah sejak 20 tahun lalu turut berjaya diberkas.

Ketua Pegawai AADK, Nur Izzati Naim berkata, operasi selama empat bermula jam 8.30 malam itu menahan tujuh lelaki tempatan termasuk dua beranak yang didapati positif dadah.

“Dalam operasi ini, kami menyerbu beberapa kediaman di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar Pantai Dalam dan hasilnya kami menahan tujuh lelaki berusia 24 hingga 56 tahun.

“Ketika pemeriksaan dilakukan di sebuah rumah, kami mendapati lelaki dan anaknya itu sedang mengambil dadah. Berdasarkan soal siasat, pemuda itu mendakwa mula terpengaruh dengan gaya hidup tidak sihat itu selepas ‘diasuh’ bapanya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, bapa lelaki itu sudah 20 tahun terbabit dengan dadah jenis heroin dan mengaku kerap keluar masuk penjara atas pelbagai kesalahan.

“Dia mendakwa tidak mengetahui anaknya mengambil dadah jenis syabu sejak dari sekolah menengah. Malah, si anak kerap dibuang kerja kerana masalah dadah,” katanya.

Menurutnya, dalam kes berasingan, dua beradik masing-masing berusia 24 dan 33 tahun didapati mengambil dadah dan ditahan dalam operasi ini.

“Si abang yang bekerja sebagai buruh kasar tidak mengetahui adiknya turut mengambil dadah. Manakala adiknya mengaku menagih akibat terpengaruh dengan rakan sebaya dan bekalan diperoleh dari pengedar di sekitar PPR,” katanya.

-myMetro