Oleh:Nazialita Geynna Maharan

IPOH: Kejayaan tiga anak muda dari Akademi Sepak Takraw Batu Kurau (ASTAB) yang membawa balik emas dalam Dragon Cup yang diadakan di Hamburg ternyata telah mengharumkan nama negara, khususnya negeri Perak.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau, Datuk Dr Muhammad Amin Zakaria berkata, kesemua mereka merupakan wakil negara dalam misi menggapai piala emas dalam Road To Hamburg:Germany bermula 10 hingga 22 Mei lepas.

ADUN Batu Kurau itu berkata, kesemua pemain tersebut telah mempamerkan bakat terpendam mereka dalam sukan sepak takraw dan terlibat dalam latihan di akademi sejak penubuhannya.

“Mereka telah menyertai Karnival Sukan dan Pendidikan anjuran dan kerjasama Universiti Of Hamburg dan rombongan mereka terdiri daripada jurulatih, pengelola dan pelajar sendiri.

df65cd81-941e-4dea-ae92-1ddef5d59de4

“Apa yang membanggakan, mereka telah berentap dengan beberapa pemain remaja berkelas dunia seperti dari Switzerland, Perancis, Belgium dan Perancis dan berjaya mendapat emas dari permainan mantap,” katanya ketika dihubungi Suara Perak pada Rabu.

Menurutnya, ASTAB ditubuhkan pada awal tahun 2016 hasil inspirasi dan idea masyarakat setempat untuk melatih bakat muda yang mempunyai kecenderungan untuk menyertai sukan tradisional Malaysia itu.

Katanya, penubuhan itu turut mendapat kerjasama daripada Majlis Perbandaran Taiping (MPT) yang sudi memberi sokongan gelanggang latihan.

Malah, Dr Amin berkata, ASTAB seringkali terpilih untuk dijadikan landasan latihan bagi atlit sukan untuk mempersiapkan diri mereka dalam acara berprestij seperti ujian bagi Skuad Sepak Takraw Wanita Kebangsaan bagi ke Sukan SEA.

Menurut beliau, hasil daripada lawatan itu, mereka juga telah menjalinkan hubungan persefahaman di antara universiti dan institusi pengajian tinggi untuk mengekalkan program pertukaran pelajar dan pensyarah bagi percambahan budaya yang berterusan.

Sementara itu, Pengerusi ASTAB, Mohd Amran Abdul Rahman berkata, pihaknya kini menantikan kepulangan juara muda itu bersama rombongan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan dijangka tiba sekitar pukul lapan malam.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi ASTAB, Muhammad Nor Daud dan kesemua kakitangan dan penggerak kejayaan julung kali buat ASTAB di peringkat dunia.