Oleh:Nazialita Geynna Maharan

JELAPANG: “Selalunya, dia tidur dengan saya tapi malam itu, dia peluk erat mak dia, tak nak lepas…,”.

Mohd Ridzuan Mokhtar,34, tidak menyangka bahawa kelakuan ganjil anak ketiganya, Aliff Rizqi,3, itu merupakan petanda bahawa dia akan pergi meninggalkan mereka buat selamanya.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata anaknya itu juga menunjukkan perubahan kelakuan yang ketara seperti mengajak keluarganya bercuti dan bertukar menjadi seorang yang amat periang dan ceria sebelum menemui ajalnya.

“Arwah anak saya ini, memang rapat dengan saya malah dia tidak boleh tidur tanpa memeluk saya, tapi malam sebelum insiden berkenaan, saya pun jadi hairan kenapa dia peluk emak dia kuat-kuat, tak pernah terjadi sebelum ini.

“Malah, dia juga meminta saya membawanya berjalan ke sana-sini dan meluangkan masa bersama saya, tak sangka itu petanda arwah meninggalkan kenangan terakhir yang gembira untuk saya sebelum dia pergi,”katanya dengan nada sebak apabila ditemui pada Sabtu.

Aliff Rizqi,3, merupakan salah seorang daripada dua beradik yang ditemui lemas dalam kolah milik datuk mereka di Kawasan Perindustrian Ringan Maju, dekat sini pada Jumaat.

Menurut Mohd Ridzuan, adiknya, Aqil Rayyan pula kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) sejak dimasukkan untuk mendapatkan rawatan semalam (Jumaat).

Ketika ditanya mengenai insiden itu, Mohd Ridzuan berkata ianya berlaku sekelip mata malah berlaku di luar jangkaan mereka.

“Kedua beradik itu tidak pernah keluar dari rumah datuk mereka dan bukan kebiasaan untuk mereka keluar bermain di kandang lembu di tepi rumah…tetapi hari itu, semuanya berlaku sekelip mata,”ujarnya.

Menurut Mohd Ridzuan, buat masa ini, keadaan Aqil Rayyan setahun telah beransur stabil namun masih lagi mendapatkan sokongan bantuan oksigen dalam rawatan.

“Doktor memaklumkan bahawa tekanan darah dan nadi serta jantung anak bongsu saya itu telah kembali stabil namun kadar oksigen di otaknya masih tidak mencukupi.

“Harapan saya, agar orang ramai boleh mendoakan keadaan anak saya,”ujarnya.

Mohd Ridzuan, yang bertugas sebagai anggota Tentera Udara Malaysia (TUDM) di Ipoh berkata buat masa ini isterinya akan mengambil masa untuk berehat dan menenangkan diri daripada insiden yang meragut nyawa anaknya itu.

Jenazah arwah Aliff Rizqi telah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Gurap, jalan Kuala Kangsar, Ipoh selepas Asar pada Jumaat