KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki menerima padah apabila dijatuhi hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, selepas mengaku salah menendang ibunya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU).

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Muhammad Faizal Wan Tahar, 24, selepas dia mengaku salah terhadap pertuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap ibunya, Punisah Saibi, 50.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula tarikh dia ditahan iaitu pada 26 September lalu.

Mengikut kertas pertuduhan, Wan Muhammad Faizal didakwa mencederakan ibunya dengan menendang belakang badan di rumah wanita itu di Kampung Paloh Haji Daud, di sini, kira-kira jam 8.15 malam pada 24 September lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh datang ke rumah ibunya di Kampung Paloh Haji Daud untuk meminta wang pada 24 September lalu.

Apabila gagal memperoleh wang dimintanya, tertuduh bertindak menendang belakang ibunya sebelum keluar dari rumah.

Bagaimanapun, suspek kembali semula ke rumah tidak lama kemudian sebelum mengamuk serta membaling tong gas ke arah wanita itu, namun berjaya dielak mangsa.

Ibunya yang mengalami kecederaan dan kesakitan di bahagian belakang badan kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miki Dustan Muda, manakala tertuduh tidak diwakili peguam – berita harian