LAHAD DATU: Anak jati Lahad Datu, Senior Asisten Komisioner Mazli Mazlan mengukir sejarah tersendiri apabila dilantik menjadi Ketua Staf Operasi Darat Pasukan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), berkuat kuasa hari ini.

Beliau menggantikan Senior Asisten Komisioner Datuk Zulkifli Salleh yang memegang jawatan itu lebih dua tahun sejak 17 December 2015.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali, berkata pasukan itu amat berbesar hati menerima seorang anggota yang berasal dari daerah ini.

“Semoga kehadiran Mazli ke dalam pasukan ESSCOM dapat mengukuhkan lagi kepercayaan masyarakat setempat terhadap anggota keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Mazli berkata, sebagai anak jati Lahad Datu, beliau berbesar hati apabila dipanggil berbakti di daerah ini.

“Saya membesar di sini sebelum bekerja dengan pasukan polis di ibu negara.

“Saya masih baru dengan pasukan ESSCOM dan berharap rakan sepasukan dapat memberi kerjasama sepenuhnya kepada saya,” katanya selepas majlis serah tugas di Bilik Mesyuarat Pasukan Polis Marin (PPM) Lahad Datu dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Hazani berkata, pihak ESSCOM bersama pasukan keselamatan lain akan memperkukuhkan tahap pertahanan di laut bagi mencegah kemasukan dan perkara tidak diingini.

“Begitu juga di darat, kita (ESSCOM) akan mewujudkan Road Check Point (RCP) seperti melakukan sekatan jalan raya bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan agensi keselamatan lain bagi mengekang elemen yang boleh menggugat ketika pilihan raya nanti.

“Kita akan terus mengekalkan tahap keselamatan seperti yang dinikmati hari ini,” katanya.

Ditanya mengenai Pusat Pemeriksaan Di Laut atau Sea Check Point (SCP) yang kertas cadangannya sudah dihantar kepada Peguam Negara tahun lalu, beliau berkata, pihaknya masih menunggu keputusan-berita harian