PETALING JAYA – Kanak-kanak berusia dua tahun lima bulan meninggal dunia dipercayai kerana didera di rumah pengasuh di sebuah apartmen di Seksyen 51A, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, sebelum itu, ibu mangsa telah menghantar anaknya ke rumah pengasuh pada jam 1 petang.

Namun kira-kira jam 2 petang, pengasuh telah menghantar pesanan melalui WhatsApp menyatakan kanak-kanak terbabit dalam keadaan tidak sihat dan muntah-muntah selain badannya yang lemah.

Ibu mangsa yang bekerja sebagai juruwang kemudian datang ke rumah pengasuh terbabit kira-kira jam 4 petang dan dapati anaknya itu tidak sedarkan diri.

“Mangsa terus dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM). Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia kira-kira jam 5.40 petang,” katanya.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati terdapat kesan lebam pada badan mangsa.

Malah, bahagian kemaluan kanak-kanak terbabit juga cedera seperti kesan terkoyak.

Tambahnya, susulan itu, polis telah menahan dua lelaki dan seorang wanita malam tadi di Petaling Jaya. Siasatan akan diteruskan dan perkembangan akan dimaklumkan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

-SinarHarian