Kota Bharu: Budak lelaki berusia tiga tahun maut, manakala ibu bapanya cedera dalam kemalangan membabitkan motosikal dan kereta dekat Kampung Wakaf Tok Wali, Padang Kala, di sini, petang tadi.

Kejadian berlaku kira-kira 4.30 petang itu menyebabkan Mohamad Hazrul Irfan Mohd Hazfiran meninggal dunia di tempat kejadian kerana parah di kepala dan badan.

Ibunya, Wan Noor Haslinda Abd Rasyid, 19, dan bapa Mohd Hazfiran Moh Jena, 25, cedera dan dirawat di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini.
Difahamkan, kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Yamaha 135 LC ditunggang tiga beranak itu dari arah Kubang Kerian menghala ke Melor gagal mengelak kereta Perodua Kelisa dipandu lelaki usia 27 tahun (arah sama) yang mahu menukar lorong.

Akibatnya, mangsa melanggar bahagian belakang kereta dan terjatuh.

Saksi melihat kejadian itu, Abdul Aziz Zakaria, 55, berkata, dia sempat mendengar dentuman kuat dan melihat kanak-kanak malang itu melambung di tengah jalan.

“Ibunya luka teruk di muka, manakala bapanya cedera. Seorang pengguna jalan sempat memberhentikan keretanya di tengah jalan bagi mengelak kenderaan lain melanggar kanak-kanak itu.

“Kami bergegas melihat keadaannya, namun dia sudah tidak bernyawa,” katanya yang tinggal di rumah terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Tiga beranak itu difahamkan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka di Kampung Alor Lintah, Jerteh selepas temujanji di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian.

-myMetro