Oleh:Nazialita Geynna Maharan

KERIAN: Anak-anak muda yang terdiri daripada masyarakat luar bandar (B40) mampu mengubah dengan menjadikan pendidikan sebagai aset utama untuk mengeluarkan mereka daripada kepompong kemiskinan.

Ahli Dewan Undangan Negeri Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat berkata antara isu yang masih membelenggu masyarakat di sekitar daerah itu adalah kemunduran sosioekonomi yang menyebabkan generasi anak muda tercicir dalam pelan pembangunan negara secara amnya.

Katanya, masalah kemiskinan juga menjadi faktor utama masyarakat luar bandar (B40) untuk terkeluar daripada kemajuan sektor pendidikan yang semakin melonjak pesat di negara ini.

“Tidak ada satu pun belia yang tidak mempunyai peluang dalam agenda kerajaan untuk memastikan pendekatan ilmu baik dari segi kemahiran dan akademik diterima oleh semua pihak.

“Seperti yang dinyatakan dalam Dasar Kerajaan, di dalam 10 Lonjakan Pelan Pembangunan Pendiidkan Malaysia (2015-2025), setiap daripada anak-anak muda mempunyai hak dan perlu diberi perhatian agar mereka boleh menjadi pelapis bangsa, dengan menjadi seorang graduan berkemahiran tinggi,”katanya dalam ucapan perasmian beliau.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Program 2U2I Peringkat Daerah Kerian yang dianjurkan oleh Taj International College (TIC) baru-baru ini.

Sham berkata program 2U2I yang memfokuskan kepada pendekatan pihak industri kepada lepasan SPM dan STPM merupakan langkah terbaik untuk meningkatkan kesedaran kepada anak-anak muda mengenai potensi mereka.

Jelasnya, setiap anak muda di negara ini berpeluang menjadi penggerak dan peneraju besar pada satu hari dan mereka tidak harus menjadikan lokasi sebagai penduduk di luar bandar sebagai satu alasan untuk tidak berjaya.

Sham dalam ucapannya turut menggalakkan anak-anak muda untuk menggarap peluang yang disediakan oleh TIC melalui Seminar 2U2I untuk berinteraksi dengan pemain industry untuk mengenal cabaran sebenar serta permintaa di dalam dunia pekerjaan sebaik sahaja menamatkan pengajian kelak.

Turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Parit BUntar, Datuk Abu Bakar Mat Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif TIC, Tina Tajuddin.