PARIT BUNTAR 5 Mac – Seorang bapa sanggup memukul anak perempuannya dengan tukul besi sehingga wanita itu parah di kepala kerana berang mangsa masih belum mendapatkan pekerjaan dalam kejadian di Parit Sungai Melan, Kuala Kurau di sini semalam.

Kejadian antara pukul 5.30 hingga 6.30 petang itu berlaku ketika mangsa berusia 24 tahun itu sedang mengaji al-Quran sebelum dipukul oleh bapanya yang ketika itu baharu pulang dari kerja menggunakan tukul pemecah dinding.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintenden Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kejadian menimpa wanita itu dimaklumkan kepada polis oleh Hospital Parit Buntar pada pukul 7.25 petang.

Katanya, kejadian dipercayai berlaku apabila bapa mangsa tidak berpuas hati kerana anak perempuannya yang telah tamat pengajian peringkat ijazah itu masih gagal mendapatkan pekerjaan.

“Mangsa yang sedang mengaji al-Quran itu telah didatangi bapanya yang baharu pulang bekerja dan lelaki itu yang merupakan tukang rumah telah memukul mangsa di kepala secara tiba-tiba.

“Melihat keadaan mangsa yang parah, lelaki itu kemudiannya mencederakan diri sendiri pula dengan menghentakkan kepalanya ke dinding rumah dan ini menyebabkan dia menerima lima jahitan di kepala selain retak tulang tapak tangan kiri,” katanya.

Menurut beliau, mangsa yang parah dirujuk ke Hospital Taiping untuk rawatan lanjut sebelum dihantar pula ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh.

Katanya, bapa mangsa yang berusia 58 tahun itu ditahan pihak polis semasa sedang menerima rawatan di Hospital Parit Buntar dan proses reman lelaki itu akan dipohon hari ini.-UTUSAN ONLINE