ANAK kepada pelawak, Ali Puteh iaitu Sharifah Ainul Mardhiah yang berusia tiga bulan disahkan meninggal dunia akibat masalah injap jantung terbalik dan jantung berlubang di Hospital Serdang pagi ini.

Ali atau nama sebenarnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan yang juga anggota kumpulan Puteh berkata, dia reda dengan ketentuan Allah SWT.

“Sedekahkan al-Fatihah buat anak syurga ini. Tunggu walid dan ibu di sana.Tidurlah sayang. Rehatlah sayang.

“Syurga tempat mu sayang. Allahuakbar,” tulisnya di Instagram.

Terdahulu akhbar ini melaporkan Ainul dalam keadaan kritikal apabila bergantung sepenuhnya dengan mesin bantuan pernafasan.

Menurut Ali, keadaan itu selepas Ainul menjalani pembedahan berikutan ada masalah injap jantung terbalik.

Ainul yang dilahirkan pada 6 Ogos lalu disahkan menghidap jaundis dan dipindahkan ke Hospital Ampang selepas lima hari dilahirkan.

Selain Ainul, Ali turut mempunyai seorang lagi anak perempuan berusia dua tahun, Sharifah Nur Aaira Qaireen.