IPOH 12 Mei – Seorang remaja lelaki ditahan kelmarin selepas dipercayai terlibat dalam satu kes rogol seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun dalam kejadian di sebuah rumah di Taman Lapangan Jaya di sini minggu lalu.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintenden Mazuki Mat berkata, mangsa yang telah diasuh ibu suspek sejak dia berusia dua tahun, pernah mengadu sakit di kemaluan pada Isnin lalu namun ibu mangsa tidak mengesyaki apa-apa.

“Ibu mangsa bagaimanapun menyedari anaknya dirogol suspek berusia 16 tahun itu selepas dia menceritakan mengenai kejadian tersebut pada Khamis lalu.

“Suspek didakwa telah membuka bajunya dan mengarahkan mangsa untuk menghisap kemaluannya sebelum merogol sehingga menyebabkan kemaluan mangsa sakit,” katanya di sini hari ini.

Sehubungan itu, kata Mazuki, ibu mangsa telah tampil membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Rapat kelmarin.

“Selepas melakukan pemeriksaan, doktor mengesahkan terdapat pendarahan dan kesan koyakan pada kemaluan mangsa berpunca daripada kemasukan objek tumpul.

“Suspek yang tidak bersekolah itu ditahan di rumahnya kelmarin dan dia kini direman selama tujuh hari sehingga Jumaat depan bagi membantu siasatan,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE