TELUK INTAN – Kerana tidak dapat menahan rasa sebak, seorang lelaki pengsan ketika bertemu ibu kandungnya buat kali pertama hari ini setelah terpisah sejak dilahirkan 39 tahun lalu.

Yusuf Aslan Ahmad, 39, rebah dan pengsan selama kira-ki­ra lima minit sebaik sahaja menatap wajah ibu kandungnya, Jamilah Sukarman, 54, yang di­ra­wat di Hospital Teluk Intan kerana menderita angin ahmar.

Ini menyebabkan keadaan di wad tempat Jamilah dirawat kecoh seketika sehingga Yusuf terpaksa dibantu oleh jururawat.

Sebelum itu ketika ditemui wartawan, Yusuf yang dilahirkan dan menetap di Jerantut, Pahang, berkata, dia terpisah dengan ibunya sejak dilahirkan apabila ibunya menyerahkannya kepada bapanya apabila ke­dua-duanya berpisah.

Katanya, selepas itu dia di­serahkan kepada keluarga ang­kat iaitu bapa saudaranya sendiri.

“Apabila berusia 10 tahun, saya mula mencari ibu kandung dengan pelbagai cara termasuk bertanyakan kepada saudara-ma­ra termasuk mencari melalui laman sosial Facebook.

“Dengan usaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Teluk Intan, mereka akhirnya berjaya menemukan ibu kandung saya yang menetap di Kampung Air Hitam dekat sini,” kata­nya.

Menurut Yusuf, dia gembira kerana akhirnya dapat menatap wajah ibunya dan tidak menyangka wanita itu menderita angin ahmar dan kini separuh lumpuh.

“Saya sedih kerana mendapat tahu ibu menghidap angin ah­mar sejak sembilan tahun lalu dan semakin serius sejak beberapa minggu lalu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Armada PPBM Teluk Intan, Muhammad Faizul Mohamed Ismail berkata, pihaknya mengatur pertemuan semula dua beranak itu setelah berjaya menjejaki Jamilah baru-baru ini.

“Pertemuan Yusuf dan ibunya terpaksa dibuat di Hospital Teluk Intan kerana Jamilah sedang menerima rawatan di hospital berkenaan,” katanya – utusan online