IPOH – Pertubuhan Anak Perak menggalakkan lebih ramai anak Perak untuk menyertai pertubuhan tersebut yang menawarkan pelbagai kelab dengan aktiviti-aktiviti menarik serta bermanfaat.
Presiden Pertubuhan Anak Perak, Faizal Effendi Hasim berkata Pertubuhan Anak Perak yang diwujudkan pada tahun 2015 adalah satu pertubuhan yang telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan sama taraf seperti Pertubuhan anak Johor, Kelantan, Terengganu, Selangor dan negeri-negeri lain.

“Setelah Pertubuhan Anak Perak didaftarkan di bawah Akta Pertubuhan (RoS) pada 2016, kami mempunyai seramai 2,000 ahli rasmi dan 8,000 ahli tidak rasmi.

“Untuk menjadi ahli, individu tersebut perlu berumur 18 tahun ke atas, lahir di negeri Perak atau pemastautin tetap negeri ini. Keahlian juga terbuka kepada semua kaum.

“Saya menyeru supaya semua anak Perak mendaftar dengan pertubuhan agar kita dapat menambah bilangan ahli,” ujar Faizal ketika ditemui pada sidang media di sini.

Sebagai insentif kepada ahli, Pertubuhan Anak Perak akan mengeluarkan kad ahli yang melayakkan mereka untuk mendapat diskaun di beberapa premis.

“Pihak pertubuhan masih dalam peringkat perbincangan dengan beberapa pihak termasuk Movie Animation Park Studios, Zoo Taiping dan hotel-hotel di dalam negeri untuk bekerjasama dengan pertubuhan.

“Malah Pertubuhan Anak Perak turut menyediakan insurans kelompok sebagai kebajikan kepada para ahli,” tambah beliau.

Menurut Faizal, Pertubuhan Anak Perak diperjuangkan atas enam objektif iaitu menggalakkan anak Perak yang berjaya di luar dan di dalam negeri untuk kembali membantu anak-anak Perak yang ingin berjaya, membentuk kerjasama yang baik di kalangan anak-anak Perak, membuka peluang dan ruang di kalangan mereka untuk mencari pendekatan bersama untuk meningkatkan ekonomi anak-anak Perak, mendidik anak-anak Perak dalam pregram kemasyarakatan dan kebajikan, mendidik masyarakat tentang erti Negara merdeka dan patriotisme serta memupuk kerjasama yang erat dan toleransi antara kaum khususnya di kalangan anak-anak Perak.

Mereka juga boleh menyertai kelab-kelab naungan pertubuhan yang bersesuaian dengan minat mereka iaitu Kelab Usahawan Perak, Sukan dan Rekreasi, Kebajikan dan Sukarelawan, Ryders Anak Perak, Kebudayaan dan Kesenian, Pertanian dan Penternakan, Pendidkan dan Mahasiswa dan Kelab Sokongan.

Pertubuhan juga telah menubuhkan Koperasi Pertubuhan Anak perak Berhad pada 25 September tahun lalu.

Kepada rakyat Perak yang berminat untuk mendaftar dengan pertubuhan boleh hadir sendiri ke pejabat pertubuhan di alamat No. 41, Jaln PP5, Bandar Universiti Seri Iskandar di Seri Iskandar atau melayari laman facebook Pertubuhan Anak Perak Rasmi.

Pendaftaran juga boleh dilakukan dengan menghantar WhatsApp ke nombor 011-1234 7664 atau 013-529 2775 dengan disertakan gambar kad pengenalan pemohon.

Yuran yang dikenakan adalah sebanyak RM35 setahun.