IPOH: Impian untuk memastikan lagu Negaraku berkumandang dalam Kejohanan Festival Muay Thai Dunia di Pattaya, Thailand, menjadi kenyataan selepas dua anak jati Perak merangkul dua emas pada kejohanan berakhir semalam.

Iskandar Hazriq Mohd Ezry A’zamin, 12, meraih emas dalam kategori Superkid 25 kilogram (kg) manakala Mohamad Arif Zahari, 15, menggondol pingat emas bagi kategori 35kg.

Abang Iskandar Hazriq, Iskandar Zulkarnain, 15, atau mesra disapa `Khuntab’ pula merangkul pingat gangsa dalam kategori Remaja 47 Kg.

Bapa Iskandar Hazriq, Mohd Ezry A’Zamin Abd Wahab yang juga Presiden Persatuan Muay Perak, berkata dalam kejohanan berkenaan kontinjen negara meraih empat emas, dua perak dan satu gangsa serta dua pengiktirafan tali pinggang kejohanan.

Katanya, Iskandar Hazriq berjaya menewaskan peserta tuan rumah manakala Mohamad Arif menumpaskan lawan dari Hong Kong pada perlawanan akhir kategori masing-masing.

“Pada malam Iskandar Haziq memenangi pingat emas, dia menghubungi saya dan berkata `Abah, Adik (panggilan Iskandar Haziq) bangga dapat kibar Jalur Gemilang’.

“Memang impian dia mahu lagu Negaraku berkumandang dan mengibarkan bendera Malaysia setiap kali menyertai kejohanan di peringkat antarabangsa,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Ezry A’Zamin berkata, Iskandar Zulkarnain hanya mampu meraih pingat gangsa namun usaha anak sulungnya adalah satu pencapaian boleh dibanggakan kerana pertama kali menyertai kategori remaja.

Dalam pada itu, beliau yang juga wakil Persekutuan Muaythai Dunia (WMF) Perak, berharap kerajaan negeri dapat memberi sokongan dan bantuan daripada segi kewangan kepada tiga anak muda berkenaan untuk membawa nama negara ke persada antarabangsa.

“Selepas ini, ketiga-tiga anak Perak ini akan menyertai kejohanan peringkat antarabangsa termasuk Kejohanan Muay Dunia di Eropah.

“Mereka ini perlu diberi sokongan supaya dapat mengekalkan ranking masing-masing selain terus membawa nama negara ke mata dunia dalam sukan tomoi,” katanya – Berita harian

GAMBAR fail, Iskandar Hazriq Mohd Ezry A’zamin, 12 (depan) bersama abang skandar Zulqarnain,15, (kiri) dan Mohamad Arrif Zahari, 15, ketika menjalani latihan di Kelab Tomoi GCS di Changkat Jering,taiping sebelum menyertai pertandingan Legend Siam World Muay Championship 2019 di Pattaya. – Foto Effendy Rashid