IPOH: Anak kelahiran Perak, Al Yashir Yahaya, 29, dipilih untuk mewakili negara ke Forum Belia Komanwel di London, pada 15 hingga 18 April ini.

Al Yashir yang juga Ahli Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) bersyukur kerana terpilih mewakili negara dalam persidangan antarabangsa itu dan akan menjalankan tanggungjawab diamanahkan sebaik mungkin.

Katanya, antara tanggungjawab yang perlu dilaksanakan adalah pengundian untuk memilih Jawatankuasa Majlis Belia Komanwel yang baharu selain membincangkan pelbagai isu, termasuk ekonomi sejagat, isu pekerjaan dan peranan wanita dalam negara Komanwel.

“Saya bersama seorang lagi rakan senegara dipilih Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Belia Negara (MBN) untuk menghadiri persidangan ini.

“Kami akan mengundi untuk memilih Jawatankuasa Majlis Belia Komanwel yang baharu dimana Pengerusi Majlis Belia Komanwel (CYC) bagi penggal 2015-2017 disandang rakyat Malaysia, Kishva Ambigapathy dan berharap apa yang diimplementasikannya dapat diteruskan pengerusi yang seterusnya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Al Yashir yang berasal dari Ipoh, berkata beliau akan berangkat ke London pada 13 April untuk menyertai persidangan tiga tahun sekali itu yang turut dijangka dihadiri pemimpin daripada 53 negara Komanwel termasuk, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Bagi isu ekonomi saya akan membincangkan mengenai keusahawanan yang boleh dilaksanakan antara negara Komanwel, manakala isu peranan wanita yang perlu diperhebatkan lagi, terutama membabitkan negara seperti Tanzania dan Nigeria di mana kaum wanita agak ketinggalan.

“Kami juga akan membincangkan isu pekerjaan di negara Komanwel yang sememangnya tidak mampu diselesaikan dalam tempoh singkat, namun memerlukan penyelesaian mapan dan kerjasama semua negara,” katanya.

Al Yashir berkata, persidangan antarabangsa itu bukanlah pengalaman pertamanya kerana pernah mewakili negara menghadiri persidangan ASEAN-Rusia di Myanmar pada 2016.

“Saya berterima kasih kepada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin; Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Perak, Datuk Ahmad Shalimin Ahmad Shaffie dan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya atas segala sokongan dan dokongan kepadanya untuk mewakili negara,” katanya.