Kuala Kubu Bharu: Polis menahan seorang remaja perempuan berusia 19 tahun, petang semalam, kerana menyembunyikan kelahiran bayi lelaki.

Remaja itu ditahan selepas membuat pengakuan bayi itu anaknya yang dilahirkan jam 6.45 pagi semalam di rumah di Bandar Utama Batang Kali, di sini.

Pada awalnya remaja terbabit mendakwa menemui bayi itu tergantung pada jeriji tingkap di belakang rumahnya jam 7.30 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Superintendan R Supramaniam berkata, remaja terbabit mendakwa dia terpaksa menipu dan mereka cerita bagi mengelak diketahui ibunya.

Beliau berkata, remaja perempuan itu dan teman lelakinya ditahan jam 2 dan 3.30 petang semalam di Batang Kali.

“Soal siasat mendapati dia menjalin hubungan dengan teman lelakinya itu sehingga mengandung.

“Sehubungan itu, polis menahan lelaki berusia 17 tahun itu bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, remaja itu dirujuk ke Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB) untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan remaja lelaki itu direman empat hari sehingga Sabtu ini untuk membantu siasatan.

-myMetro