IPOH: Sekumpulan kanak-kanak berusia lingkungan 12 tahun dipercayai cuba memecahkan mesin duit syiling di kedai dobi layan diri di Bercham Raya, Tambun, Ipoh Sabtu lalu.

Kejadian kira-kira jam 6 pagi itu kemudian menjadi tular di aplikasi WhatsApp sejak semalam.

Pemilik kedai dobi berkenaan yang enggan namanya dikenali berkata, dia tidak berhasrat untuk mengaibkan mana-mana pihak dan mengambil tindakan undang-undang kepada kanak-kanak yang dipercayai cuba memecahkan mesin duit syiling di premis miliknya itu.

“Tujuan saya meletakkan gambar di ruang kedai dobi sebelum gambar itu mula tular di aplikasi WhatsApp adalah bagi memaklumkan kepada ibu bapa supaya mengambil tahu di mana anak mereka seawal jam 6 pagi,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu adalah pertama kali berlaku sepanjang dua tahun memulakan operasi di situ dan tiada kerugian dialaminya.

pecah dobi 2

Katanya, dia tidak berhasrat melaporkan kejadian itu kepada polis kerana memikirkan masa depan kanak-kanak itu namun dia berharap ibu bapa peka terhadap tingkah laku anak-anak mereka.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner Sum Chang Keong ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang laporan berhubung kejadian itu begitupun menasihatkan orang ramai mahupun pemilik kedai membuat laporan kepada polis jika mendapati terdapat sebaran aktiviti jenayah di kawasan mereka.

 

pecah dobi 3