KOTA BHARU: Anak lelaki yang didakwa menetak bapanya hingga parah di Kampung Tapang, Kuala Besar, di sini, direman tujuh hari bermula hari ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata suspek berusia 35 tahun itu direman sehingga 12 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, siasatan lanjut masih dilakukan berhubung kejadian itu semalam.

BERITA TERDAHULU : Anak Tetak Bapa Ditahan

“Kita juga masih menjalankan siasatan sama ada suspek mempunyai masalah mental atau sebaliknya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

NSTP semalam melaporkan seorang lelaki ditahan di Jalan Dusun Muda, di sini, pada jam 12.45 tengah hari selepas menetak bapanya yang berusia 66 tahun di rumah di kampung berkenaan kira-kira jam 11.20 pagi.

Suspek ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabaf Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Ketika kejadian hanya mangsa bersama isterinya dan dua cucu berumur antara satu hingga dua tahun berada di rumah itu.

Mangsa ditetak di bahagian luar rumah berhampiran dapur yang masih dalam pembinaan – berita harian