KOTA BHARU: Anak kandung yang dipercayai menetak bapanya hingga parah ditahan polis di Jalan Dusun Muda, di sini, jam 12.45 tengah hari tadi.

Suspek berusia 35 tahun ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabaf Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik, berkata kejadian dipercayai berlaku kerana perselisihan faham antara mereka pada jam pada 11.20 pagi.

Beliau berkata, ketika kejadian hanya mangsa bersama isterinya dan dua cucu berumur antara satu hingga dua tahun berada di rumah berkenaan di Kampung Tapang Kuala Besar, di sini.

“Tempat kejadian adalah sebuah rumah teres mempunyai lima bilik manakala mangsa ditetak di bahagian luar rumah berhampiran dapur.

“Akibat tetakan itu, Che Kob Husin, 66, mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan muka akibat dipukul dengan tukul dan senjata tajam.

“Mangsa kini mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) kerana mengalami kecederaan yang parah dan kehilangan banyak darah serta dalam keadaan kritikal,” katanya ketika dihubungi BH hari ini.

Beliau berkata, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa mahu membaiki bilik suspek dan kemudian dimarahi kerana masuk ke dalam biliknya tanpa kebenaran sebelum berlaku pergaduhan mulut antara kedua-duanya.

Katanya, ujian saringan dadah terhadap suspek adalah negatif dan tiada rekod kesalahan lampau.

“Suspek yang juga bujang dan tidak bekerja, kini ditahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan siasatan lanjut sama ada suspek mengalami masalah mental atau sebaliknya akan diteruskan,” katanya – berita harian