IPOH – Seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun memerlukan bantuan dana bagi menampung kos rawatan tertunggak berjumlah lebih RM140,000 akibat penyakit sawan kronik yang dihidapi sejak sebulan lalu.

Oomi Kazuma yang merupakan anak kepada warga Jepun, Oomi Takashi, 41, dan ibunya, Chin Yit Min, 34, warga tempatan disahkan mengidap penyakit berkenaan selepas menjalani rawatan akibat demam, 18 Jun lalu.

Dia yang dijaga oleh nenek saudara sejak kecil kini dilaporkan berada dalam keadaan tidak sedar di Hospital Fatimah, Ipoh.

Nenek saudaranya, Lok Soo Fun, 50, berkata, kanak-kanak itu terpaksa ditempatkan di hospital berkenaan kerana perlu menjalani rawatan di bawah pemantauan pakar.

“Ketika menerima rawatan akibat demam di sebuah hospital, dia mengalami kekejangan hingga tidak sedarkan diri dan ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU).

“Kami kemudiannya diminta membawa Oomi ke Hospital Fatimah kerana keperluan pakar khusus bagi merawat penyakit ini ada di situ,” katanya ketika ditemui pada sidang media bersama Adun Bercham, Ong Boon Piow di Wisma DAP, hari ini.

Soo Fun berkata, bapa Oomi yang bekerja di kilang di Jepun, tidak mampu untuk membiayai sepenuhnya kos rawatan berkenaan.

Katanya, rawatan susulan termasuk menjalani MRI (Pengimejan Resonans Magnetik) perlu dilakukan segera bagi mengelak kesan lebih teruk.

“Saya mahu lihat dia kembali ceria, doktor maklumkan Oomi mempunyai peluang 60 peratus untuk sembuh dan selebihnya berdepan risiko kematian sekiranya tidak dirawat dengan segera.

“Kami sudah buntu untuk mencari wang bagi rawatan ini, kad perubatan sejumlah RM60,000 sudah habis digunakan dan kini berdepan tunggakan mencecah hingga RM140,000 yang perlu dilangsaikan,” katanya.

Sementara itu, Boon Piow berkata, pihaknya kini berusaha membantu mengumpul dana bagi membantu keluarga berkenaan.

Katanya, mana-mana pihak yang ingin tampil menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun  Chin Yit Min 314-50-70345-1 (Hong Leong) – sinar