IPOH: Perak bersedia untuk menerima sebarang kajian atau analisis mengenai kepelbagaian pendapat dan sokongan rakyat menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) yang dijangka dilaksanakan tidak lama lagi.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, kerajaan negeri bersikap terbuka terhadap mana-mana pihak yang berminat dan mempunyai keupayaan untuk menjalankan kajian masing-masing.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, terdapat banyak faktor dan elemen yang menentukan hasil akhir kajian, justeru kesimpulan awal tidak boleh ditafsirkan berdasarkan keputusan satu kajian sahaja.

“Biasalah, nak dekat PRU ini memang akan ada kajian dilakukan oleh pelbagai pihak. Saya tidak mahu fokus kepada sebarang kajian kerana sebenarnya saya sendiri seorang ahli akademik.

“Kajian adalah satu kaedah dan kita mengetahui bahawa bukan semua sampel atau rakyat yang ditanya dalam kajian ini. Jadi, teruskan kajian itu namun (perlu) ingat (ada) beberapa aspek perlu dilihat dalam hal ini,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco pada petang Rabu.

Dr Zambry berkata, penyelidik-penyelidik berkenaan pula sewajarnya mempunyai asas yang memahami faktor pemboleh ubah (variables) perlu diambil kira kerana semuanya boleh berubah sepanjang tempoh menuju PRU-14 kelak.

Beliau berkata, semua pihak boleh melakukan analisis nsendiri untuk mendapatkan maklumat dan data kajian namun ianya harus bersifat logik dan bersesuaian dengan perubahan politik semasa.

“Saya melihat hal ini dari sudut objektif…dan saya cuma ingin katakan, kami di Perak tidak naif. Lihat sendiri sejarah politik, apa yang berlaku apabila parti berpecah dan itu adalah antara faktor-faktornya.

“Justeru, saya tidak berhajat untuk mengkritik sebarang kajian tetapi jangan buat kesimpulan dahulu kerana kajian mempunyai pelbagai kaedah dan menganalisis satu-satu kajian adalah sukar.

“Kajian menentukan, contoh, parti mana yang tuan pilih tetapi tidak mengambil kira faktor pemboleh-ubahnya yang melibatkan calon, demografi dan pengundi luar bandar dan bandar yang melibatkan analisis keseluruhan,” ujarnya.

Baru-baru ini, kaji selidik “Mood Rakyat Malaysia Menjelang PRU-14” yang dilakukan oleh Institut Darul Ehsan (IDE) menyimpulkan lima negeri yang kini ditadbir kerajaan Barisan Nasional (BN) akan jatuh ke tangan pakatan pembangkang dalam PRU-14 seandainya semua parti itu, termasuk Pas, bersatu.

Lima negeri berkenan ialah Perak, Kedah, Pahang, Melaka dan Wilayah Persekutuan.