SHAH ALAM: Suasana di Kompleks Mahkamah Shah Alam di sini, gempar apabila kakitangan dan orang awam diminta mengosongkan bangunan itu selepas menerima ancaman bom menerusi panggilan telefon, hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata siasatan awal pihaknya mendapati kakitangan mahkamah itu menerima panggilan berkenaan pada jam 9.40 pagi.

“Bertindak atas maklumat itu, Pengarah Mahkamah Tinggi Shah Alam kemudian segera menghubungi talian kecemasan 999 untuk tindakan lanjut.

“Siasatan mendapati panggilan ancaman itu dibuat seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai polis dari Bukit Aman yang memaklumkan ada bom diletakkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Polis kemudian segera ke lokasi dan mengarahkan semua kakitangan dan orang ramai untuk mengosongkan bangunan berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, pasukan Unit Pemusnah Bomba (UPB) dan Unit Anjing Pengesan (K9) menjalankan pemeriksaan menyeluruh namun tidak menemui sebarang objek berupa bom atau ancaman.

“Bangunan itu kemudian disahkan selamat dan semua orang awam dibenarkan masuk semula menjalankan tugas dan urusan masing-masing pada jam 12.45 tengah hari.

“Tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang proses pemeriksaan dijalankan,” katanya.

Baharudin berkata kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.

Tinjauan NSTP mendapati kakitangan mahkamah dan orang ramai yang berada di bangunan itu diminta berkumpul di luar kompleks berkenaan ketika siasatan dijalankan.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pengurusan Operasi dan Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Alimaddia Bukri, berkata pihaknya menerusi Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam turut diarahkan ke lokasi kejadian.

“Kita kemudian menjalankan prosedur pengosongan dan menunggu polis melakukan pemeriksaan sehingga bangunan itu disahkan selamat,” katanya – berita harian