BINTULU: Ancaman buaya antara risiko terpaksa dihadapi penduduk Suai dan kawasan sekitarnya yang bergantung kepada sungai berhampiran bagi mendapatkan sumber air untuk keperluan harian.

Ia berikutan masalah bekalan air dihadapi mereka yang berlanjutan sejak seminggu lalu, selain terpaksa bergantung kepada air hujan.

Penduduk, Douglas Ising Kalang, 51, melahirkan rasa kesal terhadap pihak berkaitan yang didakwanya bersikap sambil lewa dan tidak berusaha menangani isu berkenaan.

“Kita berharap agar pihak berwajib mengatasi segera masalah bekalan air di kawasan Suai ini yang bertambah buruk dari masa ke semasa,” katanya.

Beliau menjelaskan masalah itu berlanjutan untuk tempoh yang agak lama sehingga menjejaskan kehidupan harian penduduk.

“Penduduk terjejas tidak mempunyai pilihan lain, melainkan terpaksa mendapatkan air minuman di pekan berhampiran, malah memberanikan diri mandi di sungai berhampiran,” katanya.

Katanya, kejadian bekalan air terputus ini bukan kali pertama berlaku kerana tahun lalu dan tahun sebelumnya, malah kejadian sama turut berulang.

Justeru, Douglas berharap agar kerajaan negeri mencari langkah penyelesaian terbaik dalam menangani pemasalahan itu, termasuk menambahbaik sistem perpaipan sedia ada bagi meningkatkan tekanan air – berita harian