Minnesota: Seorang wanita yang bertanding untuk menjadi datuk bandar beragama Islam pertama sebuah bandar di Minnesota membuat laporan polis selepas menerima ugutan bunuh berunsur antiagama di laman webnya.

Regina Mustafa, 37, antara calon datuk bandar Rochester, dan jika menang bakal menjadi bukan saja datuk bandar beragama Islam, malah wanita pertama untuk memegang jawatan berkenaan.

Menurut al-Jazeera, beberapa hari selepas mengumumkan pencalonannya, seorang yang menggunakan nama ‘Militia Movement’ (pergerakan militia) menulis ‘BUNUH semua muslim di Amerika’ di laman webnya.

“Saya tidak tahu sama ada orang ini berhampiran saya atau di negeri lain jauh dari sini. Namun, ancaman ini tidak boleh dipandang remeh.

“Ia memang menyebut orang Islam secara umum, tetapi memandangkan dia meninggalkan pesanan itu di laman web ini, saya menganggapnya ugutan khusus,” katanya.

Dia turut menyuarakan kebimbangan bahawa polis tidak menganggap ancaman terhadapnya sebagai gangguan peribadi.

“Saya berpengalaman dengan gangguan seumpama itu. Ini bukan gangguan, ini memang satu ancaman. Saya tahu membezakannya.

“Bagaimanapun, saya tidak akan menghentikan kempen kerana itu yang mereka mahukan. Sekalipun kalah akhirnya, saya tetap tidak akan berundur pada peringkat ini,” katanya.

Ancaman itu dibuat pada gambar dimuat naik ke Google Plus tahun lalu mengenai acara di Rochester. Bandar itu mempunyai 114,000 penduduk dengan 12,000 daripadanya beragama Islam, khususnya berketurunan Somalia.

Independant memetik Majlis Hubungan Amerika-Islam (CAIR) menggesa polis menyiasat perkara itu.

“Kami menggesa pihak berkuasa negeri dan persekutuan memandang serius ancaman keganasan yang menyasarkan seseorang daripada golongan minoriti yang sekadar mengambil bahagian dalam proses politik negara kita,” kata Pengarah Eksekutifnya, Jaylani Hussein – berita harian