Mayat dipercayai kanak-kanak berumur 11 tahun yang ditemui di padang ragut di Kampung Tanjung Medan Hilir, Pekan Pahang semalam, dijumpai dalam keadaan anggota badannya lengkap.

Ketua Polis Pahang Mohd Zakaria Ahmad mengesahkan penduduk menemui mayat yang telah reput itu namun menafikan khabar angin bahawa anggota badan dan organ mayat berkenaan hilang.

Beliau memberitahu Malaysiakini bahawa polis masih belum dapat memastikan sama ada mayat itu adalah kanak-kanak berkenaan, Siti Masyitah Ibrahim dan masih menunggu pengesahan dari laporan bedah siasat.

“Tangan terikat? Tidak ada. (Tubuh) Lengkap semua. Apa-apapun kita akan sahkan dari hasil bedah siasat tu. Sebab kematian dia pun kita tak tau,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan ibu kanak-kanak itu, Zaleha Abdullah, 35 mengatakan anak perempuannya ditemui dengan tangannya terikat, organ hilang, dan kepalanya terpisah dari badan.

Zaleha juga dilapor mengecam mayat itu adalah Siti Masyitah berdasarkan baju biru yang dipakainya sebelum hilang.

Mohd Zakaria berkata polis sebelum ini telah memulakan pencarian terhadap Siti Masyitah setelah menerima laporan.

Siti Masyitah dilaporkan kali terakhir dilihat pada 20 Jan ketika dia meminta RM1 dari ibunya untuk pergi ke kedai dan berjanji untuk kembali secepat mungkin.

Selepas tidak pulang ke rumah, Zaleha membuat laporan di balai polis Pekan pada hari yang sama.

Sementara itu, Bernama memetik Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Datuk Othman Nanyan sebagai berkata mayat itu ditemui oleh orang awam pada 4.25 petang.

“Mayat dijumpai dalam keadaan tertiarap di kawasan semak kira-kira 200 meter dari jalan utama yang agak terlindung daripada pandangan.

“Mayat dibawa ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini, dan bedah siasat akan dijalankan pada pagi esok untuk mengenal pasti punca kematian,” katanya kepada pemberita, di Kuantan hari ini.

Menurut Othman, siasatan awal polis di kawasan penemuan mayat yang terletak bersebelahan ladang kelapa sawit itu tidak menemukan sebarang senjata.

Setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut – Malaysiakini