KUANTAN: Pengaruh iklan pinjaman wang di laman sosial Facebook menyebabkan seorang anggota tentera kerugian RM6,520 selepas ditipu sebuah syarikat pinjaman yang tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata ia bermula ketika mangsa berusia 28 tahun dari Kem Batu 10 di sini, melihat iklan berkenaan kira-kira jam 9 pagi, 9 Februari lalu.

“Mangsa menghubungi nombor diiklankan dan berurusan dengan seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Winson.

“Selepas mendengar penjelasan, mangsa berminat membuat pinjaman RM15,000 dan menyerahkan beberapa dokumen peribadi seperti salinan kad pengenalan dan penyata gaji kepada ‘Winson’ menerusi aplikasi WhatsApp,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Katanya, mangsa melakukan beberapa transaksi pembayaran bermula 10 Februari hingga 23 Februari lalu ke tiga akaun bank tempatan berjumlah RM6,520.

Mohd Wazir berkata, pembayaran berkenaan didakwa sebagai kos cukai barang dan perkhidmatan (GST) dan insurans serta polisi pinjaman.

“Selepas membuat beberapa pembayaran, mangsa menyedari ditipu dan semakan dengan pihak Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati syarikat yang didakwa beroperasi di Bukit Mertajam, Pulau Pinang itu tidak didaftar untuk urusan pinjaman wang,” katanya.

Beliau berkata, mangsa cuba menghubungi lelaki berkenaan namun talian sudah disekat, lalu membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam,

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu – berita harian