IPOH: Anggota Persatuan Komuniti Rakan Cop Perak (KRCP) berusia 38 tahun cedera di lengan kanan akibat terkena libasan parang ketika cuba memujuk seorang lelaki yang sedang mengamuk di Jalan Tingkat Kledang 3, Taman Seri Intan, Mengelembu, di sini, pada malam Sabtu.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh Superintendan Abdul Rani Alias berkata, dalam kejadian 10.40 malam itu, mangsa bersama lima rakannya cuba memujuk seorang lelaki berusia 28 tahun yang ketika itu sedang mengamuk dengan melibas parang dan memecahkan cermin kereta penduduk mengunakan batu bata.

“Ketika mangsa dan rakannya sedang memujuk suspek, secara tiba-tiba suspek telah bertindak agresif sambil menjerit-jerit melibas parang ke arah mangsa dan rakan sehingga kecederaan itu berlaku.

“Kemudian suspek terus lari ke arah jalan Kledang dan berjaya ditangkap dengan bantuan anggota polis balai Menglembu,” katanya.

Beliau memberitahu hasil siasatan mendapati suspek tersebut merupakan Orang Kena Pengawasan dan mempunyai lima rekod jenayah lampau.

“Mangsa dalam keadaan stabil dan sedang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan,” ujarnya.