KUALA KANGSAR: Mahkamah Majistret di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang anggota polis trafik daripada pertuduhan mencuri wang tunai RM200 milik seorang lelaki, dua tahun lalu.

Tertuduh, Lans Koperal Sa’dat Abdul Wahab, 33, sebelum ini didakwa melakukan perbuatan itu di Kilometer 243.5 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) menghala ke Ipoh dekat sini, pada jam 4.40 petang, 13 Julai 2016.

Majistret Noorhidayah Mohd Saad membuat keputusan itu selepas berpuas hati dengan keterangan dikemukakan pihak pendakwaan serta pembelaan dan mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie dalam kes berkenaan.

Mahkamah kemudian mengarahkan tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri.

Sa’dat sebelum ini dituduh mencuri wang tunai itu daripada milikan Muhamad Alif Shahar, 25, di lokasi, masa dan tarikh berkenaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dijatuhi hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali untuk kesalahan kali pertama dan boleh dipenjara dan didenda serta dikenakan sebatan bagi kesalahan kedua.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh diwakili peguam R S N Rayer.

Tertuduh yang hadir ditemani beberapa rakannya pada prosiding hari ini kelihatan tenang dan lega sebaik mahkamah membuat keputusan melepaskan dan membebaskannya dari pertuduhan berkenaan.

Dia bagaimanapun menangis selepas menerima ucapan tahniah daripada Rayer dan rakan-rakannya dan melakukan sujud syukur sebaik keluar dari perkarangan mahkamah sebelum beredar – berita harian