IPOH: Tindakan segelintir anggota polis yang sanggup menggadai maruah dan menjadi dalang kepada sindiket tertentu ibarat musuh dalam selimut yang perlu dihapuskan demi mengembalikan maruah Polis Diraja Malaysia.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata aktiviti judi, gengsterisme dan jenayah bersindiket masih berterusan walaupun pelbagai usaha dilaksanakan oleh pihak berkuasa serta banyak kejayaan yang dicapai.

“Aktiviti ini sememangnya sentiasa menjadi isu dalam pasukan polis,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini, hari ini.

Selain itu, Mohd Ali berkata jenayah indeks daerah Ipoh bagi tempoh Januari hingga November tahun ini berkurangan kepada 1,193 kes berbanding 1,957 kes untuk tempoh sama tahun lalu.

Katanya penurunan sebanyak 44 kes atau 2.25 peratus itu adalah hasil kerjasama daripada semua anggota yang bersama-sama mengembleng tenaga bagi menangani kegiatan jenayah di bandar raya Ipoh.

“Jumlah penyelesaian kes adalah bersamaan 21.01 peratus bagi tahun 2017 dan dengan ini, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) jenayah indeks di IPD Ipoh masih di tahap agak selesa iaitu 58.38 peratus,” katanya.

Mohd Ali turut meminta kerjasama orang ramai agar menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa jika mempunyai sebarang maklumat berkaitan kegiatan mat rempit.

“Kegiatan itu masih ada tetapi pada skala yang kecil, disebabkan itu kami perlukan maklumat daripada orang ramai,” katanya. – BERNAMA